KUALA LUMPUR: ASEAN Records Sdn Bhd menegaskan syarikat itu beroperasi secara sah di Malaysia serta mempunyai kelulusan rasmi daripada Sekretariat ASEAN dan Kerajaan Malaysia untuk menggunakan nama ‘ASEAN’ dalam operasi syarikatnya sebagai platform pensijilan rekod serantau bebas.
Dalam sidang media hari ini, syarikat itu tampil menjelaskan beberapa dakwaan awam berkaitan kedudukan undang-undang, status kelulusan serta operasi komersialnya.
Pengarah dan Ketua Adjudikator Bersama ASEAN Records, Eldrick Koh, berkata syarikat memperoleh kelulusan penggunaan nama ‘ASEAN’ daripada Sekretariat ASEAN menerusi surat rujukan CCAD/LSAD/UNA/2023/Vol.1/014 bertarikh 1 Disember 2023 yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Hal Ehwal Komuniti dan Korporat, Tran Duc Binh.
Beliau berkata, syarikat itu turut menerima Kelulusan Menteri di bawah Seksyen 27(3) Akta Syarikat 2016 bagi penggunaan perkataan yang diwartakan ‘ASEAN’ dalam nama syarikat menerusi rujukan P/S/2023/A/004396 bertarikh 14 November 2023.
“ASEAN Records ialah entiti komersial bebas yang beroperasi dengan kelulusan menggunakan nama ASEAN dan kami tidak pernah menerima sebarang notis pembatalan, penarikan balik atau pindaan terhadap kelulusan berkenaan. “Semua dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikat adalah tidak benar dan kami mempunyai dokumen sokongan berkaitan kedudukan undang-undang serta operasi syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa syarikat itu tidak mempunyai hak menggunakan nama ‘ASEAN’ dan memberi gambaran menerima pengiktirafan rasmi daripada Sekretariat ASEAN.
Koh menegaskan bahawa ASEAN Records tidak pernah mendakwa pensijilan atau pengiktirafan yang dikeluarkan syarikat itu diterbitkan secara rasmi oleh Sekretariat ASEAN.
Sebaliknya, katanya, ASEAN Records berfungsi sebagai platform pensijilan serantau bebas dan bukannya organ, agensi atau wakil rasmi kepada Sekretariat ASEAN.
“Rekod yang dikeluarkan adalah pengiktirafan pencapaian cemerlang di peringkat serantau ASEAN oleh badan bebas dan bukannya dikeluarkan oleh Sekretariat ASEAN sendiri,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa syarikat itu mempromosikan serta menjual anugerah, beliau berkata ASEAN Records ialah syarikat komersial berdaftar di Malaysia yang mengendalikan platform pensijilan berbayar selaras dengan amalan badan pensijilan serantau dan antarabangsa lain.
“Syarikat telah menerima kelulusan sewajarnya di peringkat kebangsaan menerusi Kerajaan Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain turut memperoleh kelulusan di peringkat serantau daripada Sekretariat ASEAN untuk beroperasi menggunakan nama ASEAN dalam kapasiti komersial ini.
“Kelulusan pada kedua-dua peringkat ini mencerminkan asas operasi kami yang sah dan telus,” katanya.
ASEAN Records yang dilancarkan secara rasmi pada 14 November 2024 telah mengeluarkan lebih 250 pensijilan rekod ASEAN kepada syarikat, organisasi dan individu di rantau ini.
Ia juga memaklumkan telah menganjurkan sembilan majlis ‘Gather of Achievers’ yang menghimpunkan lebih 1,500 tetamu keseluruhan, selain disertai beberapa pemimpin dan pegawai kanan kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet dan Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Dalam perkembangan sama, Koh berkata syarikat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung operasi ASEAN Records.
Katanya, dua laporan polis turut dibuat masing-masing di Balai Polis Kepong dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada Ahad lalu berhubung perkara itu.
“Atas nasihat peguam, semua bukti dan dokumen berkaitan akan dikemukakan melalui proses perundangan yang sewajarnya sebaik prosiding dimulakan,” katanya.


